Dalam menempuh kehidupan seharian, pasti ada ketikanya kita akan berungkap perkataan ‘bernasib baik’ atau berlaku perkara yang dianggap kebetulan. Itu semua sebenarnya adalah takdir yang telah ditentukan. Perkara sebegini seringkali berlaku kepada Nan.
Berikut adalah perkara yang memberi kesan dalam
kehidupan yang masih terkesan di dalam sanubari hatinya.
Kisah pertama
Perkenalan Nan dengan seorang rakan baharu telah memberi
satu kesan besar dalam kehidupan Nan untuk
hari-hari mendatang. Selain itu, rakan Nan itu banyak membantunya dalam mencari
sesuatu yang pernah Nan miliki. Rakan Nan mengusulkan
supaya Nan sentiasa berdoa “Allah hu yassir walla tul asir yaa karim”
(Semoga dipermudahkan dan tidak disulitkan urusan ini)
Menurut rakan Nan itu
lagi, dia mendapat tip doa ini ketika dia menunaikan umrah dan dia suka
mengamalkan doa ini ketika menghadapi kesulitan untuk memakir kereta. Nan hanya tersenyum sahaja ketika rakannya ini bercerita
tentang doa ini (Baca: tidak percaya).
Namun kejadian pada satu petang betul-betul
mengembalikan paku buah keras kepada diri Nan.
Ini peristiwa ketika suatu petang yang sibuk menjelang hari raya dan kawasan
memakir kereta begitu padat dengan orang ramai yang mahu membeli belah. Nan telah melafazkan doa ini, dan tidak sampai satu minit
kemudian sebuah kereta keluar dari tempat pakir. Perkara yang lebih
menakjubkan, tempat pakir itu betul-betul di hadapan pusat membeli belah.
Kejadian itu jelas membuka mata Nan
terhadap kebesaran Allah. Mungkin ada pembaca yang menganggap itu satu
kebetulan. Tidak mengapa. Jika itu satu kebetulan, sukacita Nan
mahu beritahu. Selepas kejadian itu, Nan terus amalkan doa itu dalam
kehidupannya, dan Alhamdulilah, kesulitan ketika memakir kereta menjadi mudah
untuk Nan (adakah itu masih kebetulan?).
Sehingga seorang teman Nan lain yang ada bersama Nan ketika memakir kereta turut berminat untuk
mengamalkan doa tersebut setelah beberapa kali melihat ‘kebetulan’
tersebut. Nan
juga sudah menjadikan doa ini sebagai zikir bagi dirinya dalam kehidupan seharian
termasuk ketika dia menjadi penjaga gol ketika bermain bola.
Masih mahu tahu lagi tentang kebetulan yang lain ? Jom
kita baca kisah kedua.
Kisah kedua
Kejadian ini berlaku pada awal tahun 2005, ketika itu
masih belum berkahwin lagi, masih tinggal dengan keluarga. Nan
baru sahaja berkerja di Pasir Gudang setelah empat tahun merantau di Shah Alam,
Selangor.
Sedang Nan asyik bekerja, lebih kurang jam 4 petang,
dia mendapat panggilan memberitahu tentang kematian bapa saudara di Segamat,
Johor. Setelah mendapat tahu bahawa arwah akan dikebumikan pada esok hari, maka
Nan mengambil keputusan untuk melangsaikan
kerjanya pada hari itu dan bercuti pada hari esok. Nan
memberitahu berita itu kepada keluarganya dan tentang rancangan untuk melawat keluarga arwah.
Nan hanya
tiba di rumahnya lebih kurang jam 8 malam. Kesemua ahli kelurganya sudah
menunggu untuk ke Segamat. Perjalanan ke Segamat memakan masa lebih kurang tiga
jam. Nan mulakan perjalanan dengan kereta Iswara pada jam 10 malam justeru Nan mengambil masa untuk berehat sebentar lantaran letih.
Perjalanan dari Johor Bahru ke Segamat melalui
lebuhraya amat menyenangkan. Untuk ke Segamat, mereka perlu keluar di Plaza Tol
Yong Peng Selatan, dan di sinilah pengalaman yang mahu Nan
kongsikan berlaku.
Ketika menghampiri pondok tol, Nan mendapati pancaran
lampu kereta Nan kelihatan malap, lampu di dashboard pun malap. “Alamak apa hal
pula ini?” Hati Nan berdetik. Usai membayar harga perjalanan di pondok tol, Nan mengambil keputusan untuk berhenti di kawasan rehat
berhampiran pondok tol itu.
Jam pada masa itu menunjukkan 12.00 tengah malam. Nan cuba
menghidupkan kembali kereta, tetapi tidak berhasil. Cuba dan terus mencuba, namun masih
gagal.
Kemudian dia didatangi oleh dua orang pemuda yang
menunggang motosikal dan baik hati bertanyakan keadaan mereka. Disebabkan Nan
tidak mempunyai peralatan yang lengkap, maka mereka menawarkan diri untuk
mengambil peralatan untuk membantunya.
Ketika menunggu dua orang pemuda itu, sebuah trak polis
datang untuk berhenti rehat. Melihat keadaan mereka, pemandu trak itu datang
bertanya khabar. Dia kemudian mengusulkan Nan
untuk menolak kereta sambil dibantu oleh rakan-rakannya. Enjin kereta berjaya
dihidupkan. Kemudian pemandu trak itu membuka bonet depan kereta Nan dan mencabut wayar negatif di bahagian bateri. Enjin
kembali mati.
"Alternator bermasalah
ini, dik" kata abang polis itu.
Pada masa yang sama dua pemuda tadi sudah kembali dan
bersama abang polis tadi melihat keadaan kereta Nan
itu.
"Ini tidak boleh jalan jauh, bang. Abang mahu ke
mana?" Tanya salah seorang pemuda itu.
"Kami mahu ke Kemelah,” jawab Nan.
"Awak kena tukar alternator dulu ini, dik" kata abang polis pula.
"Mana mahu cari bengkel pagi-pagi begini. Adik,
awak tahu mana bengkel kereta di sini?" Nan
bertanya kepada pemuda itu.
"Ada,
bang. Tidak jauh dari sini. Abang ikut saya, saya tunjukkan, “ pemuda itu
menjawab.
"Hah! Adakah?" Nan
mulai syak terhadap pemuda itu.
"Ada,
bang. Bengkel itu saya yang punya,” balas pemuda itu.
Disebabkan tiada pilihan lain, maka Nan
mengambil keputusan untuk pergi ke bengkel pemuda itu. Setelah menolak kereta
untuk kali kedua dan mengucapkan terima kasih kepada abang-abang polis itu,
mereka ke bengkel pemuda itu. Memang tidak jauh pun. Kerja-kerja pemasangan
mengambil masa lebih kurang 45 minit. Setelah selesai segala pemasangan dan
membuat pembayaran, kami meneruskan perjalanan ke Kemelah.
Di sepanjang perjalanan itu, Nan
asyik memikirkan tentang kejadian yang berlaku sebentar tadi. Sesungguhnya Nan
redha dan sedar tentang kebesaran Allah.
Andai ini masih kebetulan, ayuh baca kisah ketiga.
Kisah ketiga
Kisah yang terakhir tidak hanya melibatkan diri sendiri
tetapi juga melibatkan kenalan dan saudara Nan.
Apabila Nan fikirkan kembali, hanya satu sahaja kesimpulan yang dapat ditaakul
- bahawasanya kebesaran dan kekuasaan Allah memang tiada tandingan.
Nan masih
ingat lagi. Pada pagi hari Sabtu yang biasanya Nan
masih bergolek di atas katil, berada di dalam kereta seperti hari kerja yang
lain kerana menghantar isterinya berkerja. Isteri Nan menjadi urusetia untuk
acara kanak-kanak. Nan pula selepas menghantar
isterinya, dia dan anaknya merancang untuk melawat rakan baiknya, Abang Silk di
Ampang.
Usai bersarapan bersama keluarganya, dia mendapat
panggilan telefon dari Iwan, seorang rakan grup buku yang bertanyakan kedai
buku di tempat isterinya berkerja. Rakan Nan itu rupanya berada di kawasan itu
kerana memberikan sokongan kepada anak buahnya yang mengambil bahagian dalam
acara kanak-kanak.
Nan
teruskan perancangan dia pada hari itu – berjumpa Abang Silk. Satu panggilan
lagi. Kali ini dari adiknya yang berada di Johor Bahru. Suatu panggilan sedih.
Salah seorang ahli keluarga di kampung meninggal dunia.
Nampak gaya
rancangan harus diubah. Nan cuba
menghubungi isterinya namun tidak berjaya, dan perkara yang sama berlaku walau
sudah dicuba beberapa kali. Mungkin sebab isterinya terlampau sibuk, Nan kemudian mengambil keputusan meneruskan perancangan
awal dan mengharapkan isterinya dapat
menghubunginya kembali.
Sehingga tiba di rumah Abang Silk, isteri Nan masih tidak menghubunginya. Apabila Nan bertemu Abang
Silk hanya ada satu jawapan, bukan pasal perempuan, bukan pasal wang dan bukan
pasal kuasa, tetapi pasal buku. Mereka seterusnya bergerak menuju ke PTS untuk
menjamu mata dengan buku. Namun begitu mereka harus menjamu perut dahulu dengan
sup ayam. Seakan menjadi tradisi kepada dua orang ini untuk mencicip sup ayam
dan nasi sebelum menjamu mata dengan buku.
Pada ketika menjamu selera inilah Nan
mendapat satu panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenalinya. Isteri Nan di
talian. Rupa-rupanya telefon bimbit isterinya tercicir. Wah! Baru Nan tahu
mengapa dia tidak dapat menghubungi isterinya.
Nan telah
menggunakan kuasa mindanya untuk pulang ke masa silam (tidaklah silam manapun..
ke waktu pagi ketika sarapan tadi sahaja). Hanya dua kebarangkalian sahaja,
tertinggal di kedai makan atau tertinggal di dalam kereta.
Usai menjamu selera, Nan
terus membuat pemeriksaan di dalam keretanya. Sifar. Dia kemudian menjamu mata
di PTS dan pulang secepat mungkin untuk mengambil isterinya.
Muka isterinya masam mencuka, mata merah berair. Tanpa
banyak bicara mereka menuju ke kedai makan. Nan
terus bertanya. Sifar juga. Nan kembali ke
kereta untuk memberitahu berita buruk itu kepada isterinya. Baru sahaja duduk, dia
mendapat satu panggilan, dari Iwan lagi.
Usai Iwan berbasa basi, dia menerangkan tujuan
panggilan itu dibuat. Telefon bimbit isteri Nan
ada pada Iwan. Menurut Iwan, bapa mertuanya menjumpai telefon bimbit itu
tercicir di kawasan tangga kompleks. Disebabkan panik, bapa mertuanya hanya
memberitahu ahli keluarganya apabila tiba di rumah mereka di Kuala Lumpur.
Seperti orang lain yang menjumpai telefon bimbit, sudah
pasti mereka akan memeriksa telefon bimbit
tersebut. Pada ketika inilah dia ternampak wajah Nan dan isteri Nan di
dalam telefon bimbit itu, dan terus menghubungi Nan.
Kelegaan dan terasa amat bersyukur dengan kejadian ini.
Wajah isteri Nan mula terukir senyuman. Namun
Nan tidak dapat mengambil telefon bimbit itu pada hari itu sebab perlu bergegas
ke kampung untuk berziarah.
Nan dan
Iwan akan bertemu pada masa yang sesuai untuk mendapat kembali telefon bimbit
itu. Itu janji mereka.
Ketika dalam pemanduan pulang ke kampung, Iwan
menghubungi Nan lagi. Kali ini bertanyakan
tentang saudaranya yang meninggal dunia itu. Allah Maha Besar! Saudara Nan yang
meninggal itu merupakan rakan sejawat adik kepada Iwan dan adiknya pada ketika
itu sudah berada di kampung Nan.