Tuesday, February 19, 2013

Bila Jari Manari 19 Feb 2013 - Kebetulan


Dalam menempuh kehidupan seharian, pasti ada ketikanya kita akan berungkap perkataan ‘bernasib baik’ atau berlaku perkara yang dianggap kebetulan. Itu semua sebenarnya adalah takdir yang telah ditentukan. Perkara sebegini seringkali berlaku kepada Nan.
Berikut adalah perkara yang memberi kesan dalam kehidupan yang masih terkesan di dalam sanubari hatinya.

Kisah pertama
Perkenalan Nan dengan seorang rakan baharu telah memberi satu kesan besar dalam kehidupan Nan untuk hari-hari mendatang. Selain itu, rakan Nan itu banyak membantunya dalam mencari sesuatu yang pernah Nan miliki. Rakan Nan mengusulkan supaya Nan sentiasa berdoa “Allah hu yassir walla tul asir yaa karim” (Semoga dipermudahkan dan tidak disulitkan urusan ini)
Menurut rakan Nan itu lagi, dia mendapat tip doa ini ketika dia menunaikan umrah dan dia suka mengamalkan doa ini ketika menghadapi kesulitan untuk memakir kereta. Nan hanya tersenyum sahaja ketika rakannya ini bercerita tentang doa ini (Baca: tidak percaya).
Namun kejadian pada satu petang betul-betul mengembalikan paku buah keras kepada diri Nan. Ini peristiwa ketika suatu petang yang sibuk menjelang hari raya dan kawasan memakir kereta begitu padat dengan orang ramai yang mahu membeli belah. Nan telah melafazkan doa ini, dan tidak sampai satu minit kemudian sebuah kereta keluar dari tempat pakir. Perkara yang lebih menakjubkan, tempat pakir itu betul-betul di hadapan pusat membeli belah.
Kejadian itu jelas membuka mata Nan terhadap kebesaran Allah. Mungkin ada pembaca yang menganggap itu satu kebetulan. Tidak mengapa. Jika itu satu kebetulan, sukacita Nan mahu beritahu. Selepas kejadian itu, Nan terus amalkan doa itu dalam kehidupannya, dan Alhamdulilah, kesulitan ketika memakir kereta menjadi mudah untuk Nan (adakah itu masih kebetulan?).
Sehingga seorang teman Nan lain yang ada bersama Nan ketika memakir kereta turut berminat untuk mengamalkan doa tersebut setelah beberapa kali melihat ‘kebetulan’ tersebut.  Nan juga sudah menjadikan doa ini sebagai zikir bagi dirinya dalam kehidupan seharian termasuk ketika dia menjadi penjaga gol ketika bermain bola.
Masih mahu tahu lagi tentang kebetulan yang lain ? Jom kita baca kisah kedua.

Kisah kedua
Kejadian ini berlaku pada awal tahun 2005, ketika itu masih belum berkahwin lagi, masih tinggal dengan keluarga. Nan baru sahaja berkerja di Pasir Gudang setelah empat tahun merantau di Shah Alam, Selangor.
Sedang Nan asyik bekerja, lebih kurang jam 4 petang, dia mendapat panggilan memberitahu tentang kematian bapa saudara di Segamat, Johor. Setelah mendapat tahu bahawa arwah akan dikebumikan pada esok hari, maka Nan mengambil keputusan untuk melangsaikan kerjanya pada hari itu dan bercuti pada hari esok. Nan memberitahu berita itu kepada keluarganya dan tentang  rancangan untuk melawat keluarga arwah.
Nan hanya tiba di rumahnya lebih kurang jam 8 malam. Kesemua ahli kelurganya sudah menunggu untuk ke Segamat. Perjalanan ke Segamat memakan masa lebih kurang tiga jam. Nan mulakan perjalanan dengan kereta Iswara pada jam 10 malam justeru Nan mengambil masa untuk berehat sebentar lantaran letih.
Perjalanan dari Johor Bahru ke Segamat melalui lebuhraya amat menyenangkan. Untuk ke Segamat, mereka perlu keluar di Plaza Tol Yong Peng Selatan, dan di sinilah pengalaman yang mahu Nan kongsikan berlaku.
Ketika menghampiri pondok tol, Nan mendapati pancaran lampu kereta Nan kelihatan malap, lampu di dashboard pun malap. “Alamak apa hal pula ini?” Hati Nan berdetik. Usai membayar harga perjalanan di pondok tol, Nan mengambil keputusan untuk berhenti di kawasan rehat berhampiran pondok tol itu.
Jam pada masa itu menunjukkan 12.00 tengah malam. Nan cuba menghidupkan kembali kereta, tetapi tidak berhasil. Cuba dan terus mencuba, namun masih gagal.
Kemudian dia didatangi oleh dua orang pemuda yang menunggang motosikal dan baik hati bertanyakan keadaan mereka. Disebabkan Nan tidak mempunyai peralatan yang lengkap, maka mereka menawarkan diri untuk mengambil peralatan untuk membantunya.
Ketika menunggu dua orang pemuda itu, sebuah trak polis datang untuk berhenti rehat. Melihat keadaan mereka, pemandu trak itu datang bertanya khabar. Dia kemudian mengusulkan Nan untuk menolak kereta sambil dibantu oleh rakan-rakannya. Enjin kereta berjaya dihidupkan. Kemudian pemandu trak itu membuka bonet depan kereta Nan dan mencabut wayar negatif di bahagian bateri. Enjin kembali mati.
"Alternator bermasalah ini, dik" kata abang polis itu.
Pada masa yang sama dua pemuda tadi sudah kembali dan bersama abang polis tadi melihat keadaan kereta Nan itu.
"Ini tidak boleh jalan jauh, bang. Abang mahu ke mana?" Tanya salah seorang pemuda itu.
"Kami mahu ke Kemelah,”  jawab Nan.
"Awak kena tukar alternator dulu ini, dik" kata abang polis pula.
"Mana mahu cari bengkel pagi-pagi begini. Adik, awak tahu mana bengkel kereta di sini?" Nan bertanya kepada pemuda itu.
"Ada, bang. Tidak jauh dari sini. Abang ikut saya, saya tunjukkan, “ pemuda itu menjawab.
"Hah! Adakah?" Nan mulai syak terhadap pemuda itu.
"Ada, bang. Bengkel itu saya yang punya,” balas pemuda itu.
Disebabkan tiada pilihan lain, maka Nan mengambil keputusan untuk pergi ke bengkel pemuda itu. Setelah menolak kereta untuk kali kedua dan mengucapkan terima kasih kepada abang-abang polis itu, mereka ke bengkel pemuda itu. Memang tidak jauh pun. Kerja-kerja pemasangan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Setelah selesai segala pemasangan dan membuat pembayaran, kami meneruskan perjalanan ke Kemelah.
Di sepanjang perjalanan itu, Nan asyik memikirkan tentang kejadian yang berlaku sebentar tadi. Sesungguhnya Nan redha dan sedar tentang kebesaran Allah.
Andai ini masih kebetulan, ayuh baca kisah ketiga.

Kisah ketiga
Kisah yang terakhir tidak hanya melibatkan diri sendiri tetapi juga melibatkan kenalan dan saudara Nan. Apabila Nan fikirkan kembali, hanya satu sahaja kesimpulan yang dapat ditaakul - bahawasanya kebesaran dan kekuasaan Allah memang tiada tandingan.
Nan masih ingat lagi. Pada pagi hari Sabtu yang biasanya Nan masih bergolek di atas katil, berada di dalam kereta seperti hari kerja yang lain kerana menghantar isterinya berkerja. Isteri Nan menjadi urusetia untuk acara kanak-kanak. Nan pula selepas menghantar isterinya, dia dan anaknya merancang untuk melawat rakan baiknya, Abang Silk di Ampang.
Usai bersarapan bersama keluarganya, dia mendapat panggilan telefon dari Iwan, seorang rakan grup buku yang bertanyakan kedai buku di tempat isterinya berkerja. Rakan Nan itu rupanya berada di kawasan itu kerana memberikan sokongan kepada anak buahnya yang mengambil bahagian dalam acara kanak-kanak.
Nan teruskan perancangan dia pada hari itu – berjumpa Abang Silk. Satu panggilan lagi. Kali ini dari adiknya yang berada di Johor Bahru. Suatu panggilan sedih. Salah seorang ahli keluarga di kampung meninggal dunia.
Nampak gaya rancangan harus diubah. Nan cuba menghubungi isterinya namun tidak berjaya, dan perkara yang sama berlaku walau sudah dicuba beberapa kali. Mungkin sebab isterinya terlampau sibuk, Nan kemudian mengambil keputusan meneruskan perancangan awal  dan mengharapkan isterinya dapat menghubunginya kembali.
Sehingga tiba di rumah Abang Silk, isteri Nan masih tidak menghubunginya. Apabila Nan bertemu Abang Silk hanya ada satu jawapan, bukan pasal perempuan, bukan pasal wang dan bukan pasal kuasa, tetapi pasal buku. Mereka seterusnya bergerak menuju ke PTS untuk menjamu mata dengan buku. Namun begitu mereka harus menjamu perut dahulu dengan sup ayam. Seakan menjadi tradisi kepada dua orang ini untuk mencicip sup ayam dan nasi sebelum menjamu mata dengan buku.
Pada ketika menjamu selera inilah Nan mendapat satu panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenalinya. Isteri Nan di talian. Rupa-rupanya telefon bimbit isterinya tercicir. Wah! Baru Nan tahu mengapa dia tidak dapat menghubungi isterinya.
Nan telah menggunakan kuasa mindanya untuk pulang ke masa silam (tidaklah silam manapun.. ke waktu pagi ketika sarapan tadi sahaja). Hanya dua kebarangkalian sahaja, tertinggal di kedai makan atau tertinggal di dalam kereta.
Usai menjamu selera, Nan terus membuat pemeriksaan di dalam keretanya. Sifar. Dia kemudian menjamu mata di PTS dan pulang secepat mungkin untuk mengambil isterinya.
Muka isterinya masam mencuka, mata merah berair. Tanpa banyak bicara mereka menuju ke kedai makan. Nan terus bertanya. Sifar juga. Nan kembali ke kereta untuk memberitahu berita buruk itu kepada isterinya. Baru sahaja duduk, dia mendapat satu panggilan, dari Iwan lagi.
Usai Iwan berbasa basi, dia menerangkan tujuan panggilan itu dibuat. Telefon bimbit isteri Nan ada pada Iwan. Menurut Iwan, bapa mertuanya menjumpai telefon bimbit itu tercicir di kawasan tangga kompleks. Disebabkan panik, bapa mertuanya hanya memberitahu ahli keluarganya apabila tiba di rumah mereka di Kuala Lumpur.
Seperti orang lain yang menjumpai telefon bimbit, sudah pasti mereka akan memeriksa telefon bimbit  tersebut. Pada ketika inilah dia ternampak wajah Nan dan isteri Nan di dalam telefon bimbit itu, dan terus menghubungi Nan.
Kelegaan dan terasa amat bersyukur dengan kejadian ini. Wajah isteri Nan mula terukir senyuman. Namun Nan tidak dapat mengambil telefon bimbit itu pada hari itu sebab perlu bergegas ke kampung untuk berziarah.
Nan dan Iwan akan bertemu pada masa yang sesuai untuk mendapat kembali telefon bimbit itu. Itu janji mereka.
Ketika dalam pemanduan pulang ke kampung, Iwan menghubungi Nan lagi. Kali ini bertanyakan tentang saudaranya yang meninggal dunia itu. Allah Maha Besar! Saudara Nan yang meninggal itu merupakan rakan sejawat adik kepada Iwan dan adiknya pada ketika itu sudah berada di kampung Nan.
Segala kejadian yang berlaku kelihatan seperti kebetulan, namun itulah sebenarnya takdir yang kita tidak ketahui sehingga ia berlaku.








Dozo Yurokshiku...

4 comments: