Dah lama tidak menulis, ini pun bukan rajin sangat nak menulis cuma menampal tulisan lama sahaja. Tulisan yang tidak di blog tetapi di tempat lain. Cerita dibawah diterbitkan oleh RAMFC untuk koleksi Sailang.
20.12.2012 – Hari Yang
Sesuai
Bangi, 1 Disember 2012
Rayyan (Addin) melayari internet untuk
mengetahui perkembangan terkini Pesta Buku Kuala Lumpur yang bakal diadakan
nanti di PWTC. Dia mahu mengambil peluang ini untuk bersama-sama bekas rakan
sekuliahnya termasuklah Sue Onn, Suhaimi Long dan Fenna.
Dia mahu menebus kembali masa yang hilang
semasa dia berada di planet Yukkaa. Walaupun mereka sudah berjaya dalam kerjaya
dan keluarga masing-masing namun hubungan persahabatan di antara mereka masih
utuh.
Keutuhan dan keakraban mereka menjadi
semakin kukuh apabila mereka amat menyenangi karya tulisan Ramlee Awang Murshid,
dan berita baik untuk mereka kerana karya terkini itu akan berada di PWTC. Aku
Bercerita tajuknya dan akan dilancarkan pada 20.12.2012 oleh Perdana Menteri
Malaysia buat julung-julung kalinya.
“Hari yang sesuai,” getusnya perlahan.
************************************************
Cheras, 1 Disember 2012
Suriani masih lagi menantikan kedatangan
tetamu yang istimewa untuk majlis doa selamat bersempena harijadinya yang ke-16.
Ibunya Siti Nurhalis kelihatan sibuk melayan tetamu di kalangan kaum ibu sambil
melakukan persiapan terakhir. Persiapan majlis ini banyak dibantu oleh Puan
Adelia ibu kepada Lukman yang merupakan tetamu istimewa di hati gadis yang
menginjak remaja itu.
Majlis dijadualkan berlangsung setelah
kaum bapa selesai menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid berhampiran.
Lukman berjalan beriringan bersama
ayahnya, Luqman dan ayah Suriani, Amaruddin (Ejim). Majlis berlangsung dengan
suasana sederhana berakhir juga. Keluarga Lukman merupakan tetamu terakhir yang
meninggalkan rumah Suriani.
Sebelum beredar, Loqman dan Amaruddin
berjanji akan bersama-sama membawa keluarga mereka untuk ke Pesta Buku Kuala
Lumpur 2012 pada 20.12.2012 untuk menyaksikan pelancaran buku terkini penulis
yang menjadi pujaan anak-anak mereka, Ramlee Awang Murshid. Aku Bercerita
tajuknya.
“Hari yang sesuai,” ungkap Luqman dan
Amaruddin serentak
*******************************************
Brinchang, Cameron
Highlands 1 Disember 2012
Risham (Ryu Watanabe) sedang berehat
sambil melihat ke tengah ladang strawberi yang diusahakan bersama isterinya
yang tercinta, Marhain (Noriko). Sudah lama mereka meninggalkan kenangan lama
dan menjadi ‘manusia biasa’ di situ.
Marhain, demi cintanya kepada Risham
sanggup bersusah di ladang yang luas asalkan tidak berjauhan daripada Risham,
dan Risham membalas dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada
Marhain.
Marhain juga berusaha mendalami bahasa Melayu
agar dapat memudahkan dirinya berkomunikasi dan memahami segala bentuk
perbualan orang di sekelilingnya. Memandangkan dia suka membaca buku, Risham
selalu membelikan novel-novel bahasa Melayu yang banyak di pasaran.
Namum begitu, hanya seorang penulis yang
berjaya menambat hati Marhain, Ramlee Awang Murshid dan buat pertama kalinya
sejak mereka tinggal di Cameron Highland, dia mengajak Risham ke Pesta Buku
Kuala Lumpur pada 20.12.2012, untuk menghadiri pelancaran novel terkini penulis
yang di minati itu, Aku Bercerita tajuknya. Tanpa berfikir panjang Risham
bersetuju menemaninya
“Hari yang sesuai,” ucap Risham sambil
tersenyum
**********************************
Shah Alam, 1 Disember
2012
Rusdi duduk diam membatu di hadapan
ketua editornya, Haji Nordin. Suasana tegang menyelubungi bilik ketua editor
yang begitu terkenal dangan ketegasannya.
Seperti yang dijangka oleh Rusdi,
perjumpaan kali ini adalah berkaitan dengan artikel terkininya. Artikel yang
berjaya mencuit kulit wajah ramai ahli
politik di Malaysia. Pendedahan artikel itu laksana gosip perpindahan pemain
bolasepak terkenal dunia, cuma yang berbeza dia hanya menulis tentang gosip ahli
politik yang terlibat dalam rasuah dan skandal artis di Malaysia.
Disebabkan artikel itulah juga, dia
telah diarahkan oleh ketua editornya untuk mengambil cuti selama dua minggu dan
kemudian dikehendaki membuat liputan di Pesta Buku Kuala Lumpur pada 20.12.2012,
khas untuk penulis Ramlee Awang Murshid dan buku baharunya, Aku Bercerita.
Rusdi sungguh tidak berpuas hati dengan
arahan yang diberikan, namun terpaksa akur setelah mendengar dengan teliti
alasan yang diberikan oleh ketua editornya. Malah berdiri bulu romanya sebaik
mengetahui dia dalam bahaya apabila terdapat ugutan maut untuk dirinya.
Maka untuk menyejukkan keadaan, dia terpaksa
menyejukkan dirinya barang seketika dan membuat liputan untuk penulis tersohor
itu adalah jalan yang terbaik.
“Hari yang sesuai,” keluh Rusdi lemah.
*****************************************
Pandan Indah, 1
Disember 2012
Hilman terpaksa melupakan sarapan pagi
yang sedang dinikmati pada pagi itu kerana mendapat arahan untuk ke Ibu Pejabat
Bukit Aman bagi taklimat penting. Setibanya di pintu pejabat, Sarjan Hizamnuddin
Awang menyambutnya untuk bersama-sama menghadiri taklimat yang akan diadakan
sebentar lagi.
Memasuki pekarangan bilik mesyuarat itu
kelihatan Pengarah Tertinggi Perisikan Negara bersama seorang lelaki. Lelaki
itu diperkenalkan sebagai Mikhail, seorang ajen Interpol yang akan memberikan
taklimat satu maklumat penting.
Menurut Mikhail, dia sebelum ini pernah
dilatih menjadi pembunuh upahan sebelum membantu menjatuhkan sindiket itu. Enam
bulan yang lepas dia mendapat maklumat bahawa sindiket itu telah dihidupkan
kembali.
Melalui sumber daripada Interpol, sindiket
akan melakukan sesuatu pada 21.12.2012. Berdasarkan maklumat itu pihak
Perisikan Negara setelah membuat rujuk silang dengan sumber-sumber agensi dalam
negeri telah mendapati bahawa sasaran sindiket itu adalah Perdana Menteri
Malaysia.
Perdana Menteri Malaysia akan berada di
Pesta Buku Kuala Lumpur untuk melancarkan buku terkini Ramlee Awang Murshid –
Aku Bercerita di PWTC. Sarjan Hizammudin Awang dilantik berada di dalam pasukan
yang akan melindungi Perdana Menteri, manakala Mikhail dan Hilman pula akan
berkerjasama mencari pembunuh itu.
Menurut Mikhail, pembunuh kali ini
adalah orang yang terbaik sindiket baharu ini. Sehingga pada ketika ini, hanya
dia yang buat ‘hasil kerja’ yang menggabungkan kaedah manipulasi dan hipnotik,
di mana mangsa akan dirapati sebelum dibunuh. Pembunuh akan menyelidiki
segala-galanya tentang mangsa, dan kemudian menggunakan kaedah manipulasi
terhadap kelemahan mangsa itu. Setelah itu barulah membuat hipnotik kepada
mangsa supaya mangsa kelihatan membunuh diri.
Menurut Mikhail lagi, dia mengetahui
perbezaan mengenai pembunuhan itu melalui tanda yang ditinggalkan secara langsung
oleh pembunuh itu, yakni dua biji dadu yang diletakkan di kawasan mangsa
dijumpai. Modus operandi sebegini telah berjaya disiasat oleh Mikhail, namun
begitu dia hanya mampu mengetahui nama pembunuh itu sahaja, Zonan – Pembunuh
Tanpa Wajah.
Mereka mempunyai tempoh lebih kurang dua
minggu untuk mengenal pasti siapakah Zonan yang sebenarnya dan menghalangnya
daripada mengganas lagi.
“Hari yang sesuai,” monolog Hilman di
dalam hati
*************************************
LCCT, 1 Disember 2012
Zonan melangkah dengan tenang keluar
dari balai ketibaan. Dia sebagai pembunuh terbaik sindiketnya telah diarahkan
melakukan tugasan yang paling mencabar. Lebih mencabar, dia sendiri telah
membocorkan maklumat tentang misi ini. Dia memerlukan masa untuk merancang agar
misi berjaya dilakukan. Dia juga yang gemar bersiar-siar akan mengambil peluang
ini untuk menikmati keindahan Kuala Lumpur.
Dia berhenti seketika membaca iklan di
poster yang dipamirkan, Pesta Buku Kuala Lumpur, 20.12.2012. Pelancaran novel
terkini Ramlee Awang Murshid – Aku Bercerita.
Dia tersenyum.
“Hari yang sesuai, ucap Zonan.
*****************************************
PWTC, 20 Disember 2012
Hari yang dinanti-nantikan oleh peminat
Ramlee Awang Murshid telah tiba. Hari ini adalah hari pelancaran novel beliau
yang terkini – Aku Bercerita. Novel yang diuar-uarkan sebagai lain daripada
yang lain telah diberikan promosi yang amat baik oleh pihak Karangkraf dan
Kelab Peminat beliau (RAMFC) seawal bulan Disember lagi.
Selain mereka, terdapat ratusan ribu
lagi pengunjung Pesta Buku Kuala Lumpur yang datang untuk meraikan jutaan buku
yang dipamerkan di PWTC. Kunjungan sebegini dapat secara tidak langsung
membuktikan bahawa penduduk di Malaysia ini sudah menunjukkan minat suka membaca.
Sebentar lagi akan berlangsung pelancaran
novel karya Ramlee Awang Murshid – Aku Bercerita yang akan dilakukan oleh
Perdana Menteri Malaysia di Dewan Tun Hussen Onn. Pihak Karangkraf dan RAMFC
sedang melakukan persiapan terakhir.
Sementara itu, Rusdi telah bersedia di
tempat media bersama soalan-soalan yang tidak akan berkaitan dengan novel Aku
Bercerita, tetapi soalan tentang artikel berkenaan rasuah dan skandal.
Dua keluarga, Loqman dan Amaruddin juga
kelihatan berada di sana - si anak bersedia dengan novel Aku Bercerita, si ibu
di ruangan buku resepi dan si ayah pula lebih suka menghabiskan masa di meja
buku-buku agama.
Rayyan dan rakan-rakannya juga tidak
melepaskan peluang untuk bersama pada hari ini. Setelah selesai menjamu selera
di bangunan bersebelahan, mereka kini bergerak menuju ke Dewan Tun Husein Onn.
Marhain dan Risham pula menjadi tumpuan
ramai kerana mereka seolah-olah seperti pelancong daripada Jepun. Mereka telah
memakai pakaian tradisional negara matahari terbit pada hari ini.
Manakala Hilman dan Mikhail pula telah
melalui dua minggu yang hampa kerana tidak berjaya mendapat apa-apa maklumat
terbaru mengenai Zonan. Mereka sekarang hanya mampu menjadi pelindung kepada
Perdana Menteri Malaysia sahaja.
Zonan pula melangkah tenang dan penuh
keyakinan memasuki Dewan Tun Husien Onn untuk menjalankan misi yang telah
diberikan kepadanya. Dia merapati Presiden RAMFC saudari Noofizah Izura sambil
membisikkan sesuatu kepadanya dan secara spontan saudari Noofiza Izura
mengangguk.
Majlis pelancaran bermula setelah
ketibaan Perdana Menteri Malaysia. Setelah berucap sepatah dua kata, Ramlee
Awang Murshid seperti biasa akan menceritakan susah payah beliau dalam
menghasilkan Aku Bercerita.
Pada masa yang sama Mikhail dan Hilman
berada dalam situasi berjaga-jaga dengan keadaan semasa dan sentiasa dekat
Perdana Menteri Malaysia.
Ramlee Awang Murshid secara simboliknya
menyerahkan senaskah novel Aku Bercerita kepada Perdana Menteri Malaysia, dan
pada ketika inilah lampu di dewan terpadam dan satu bunyi letupan kedengaran.
Orang ramai panik dan menjerit
ketakutan.
Lampu di dewan kembali dinyalakan.
Perdana Menteri Malaysia masih bernyawa.
Novel Aku Bercerita ditembusi peluru.
Namun ada tujuh tubuh menyembah bumi - Rayyan,
Ryu Watanabe, Loqman, Amarrudin, Rusdi, Mikhail dan Hilman.
Aneh!
Tiada kesan tembakan ditubuh mereka.
Dan Ramlee Awang Murshid didapati
hilang, manakala Zonan tersenyum puas. Misi berjaya.
---
ZONAN VILLA.
Bahagian kedua sekejap lagi
No comments:
Post a Comment