Wednesday, May 18, 2011

Bila Jari Menari 18 May 2011 ~ Buku.. Baca.. Beli ~

Tarikh : 30 April 2011
Tempat : PWTC
Masa : 10.00 pagi sampai dah dekat Maghrib

Kali ini Nan pergi ke pesta buku bersama 2 orang rakannya yang sudah berumur. Nan bukan tidak mempunyai rakan yang sebaya atau lebih muda. Ada. Cuma mereka jelasnya tidak mempunyai kecenderungan minat yang sama dengan Nan. Mereka masih mengertawakannya membaca buku setiap kali masa rehat ketika bermain badminton. Maka dengan itu Abg Silk dan Abg Uno menjadi `mangsa` untuk bersama-sama menikmati keharuman buku-buku dan peluh ketiak pengujung yang datang ke pesta buku.

"Sudah nama pun pesta, mestilah meriah" gumam Nan selepas melihat begitu ramai pengunjung.

Melihat kepada kedatangan pengunjung, Nan merasa kagum, laksana menonton perlawanan akhir bolasepak Piala AFF, Malaysia menentang Indonesia. Sesak. Perasaan Nan bercampur baur, gembira dengan sambutan rakyat di negaranya sendiri tetapi pada masa yang sama tidak selesa kerana perlu menjadi ikan sardin di dalam tin.

Abg Silk menunjukkan buku karya rakannya, Hizamnuddin Awang `Membuat Duit Dengan Katering` dan kebetulan penulis ada di sana maka mereka diberikan buku percuma dengan syarat perlulah membuat komen mengenai buku itu. Nan memerima pemberian buku itu sambil mengharapkan penulis itu terlupakan dirinya kerana dia hanya suka membaca tetapi amat pemalas dalam penulisan.

Namun begitu harapan tinggal harapan. Semalam Abg Silk meminta Nan membuat komen tentang buku itu.

"Buku itu menjadi buku popular bulan lepas, kalau kita membuat komen mungkin boleh dapat buku percuma yang lain" tambah Abg Silk.

"Dasar muka subsidi " Nan hanya berani meluahkan di dalam hati kerana dia juga suka buku percuma.

Lantas tanpa berlengah masa dia terus menulis komen sebegini

"Pengalaman adalah sesuatu pekara yang tidak boleh dijual beli. Untuk mereka yang hidup daripada pengalaman akan mendapat 1000 ganda kepuasan apabila melihat hasil titik peluh yang dihasilkan menjadi emas, dan mereka yang tidak lokek pengalaman adalah mereka yang mulia sifatnya maka buku sebegini amat sesuai menjadi perantara menzahirkan segala pahit maung bergelumang di dalam sesuatu pekara."

"Berani menanggung risiko, keazaman untuk berjaya, cara perlaksaanan yang berkesan adalah intipati kepada mereka yang mahu menceburi bidang katering. Jelas buku ini dapat memberi panduan serba sedikit tentang bidang saji menyaji ini"

"Namun para pembaca harus sedar tiada yang mudah dalam segala bidang sekalipun. Maka anggaplah buku ini sebagai panduan maka kemudian harus disertakan usaha yang bersungguh-sungguh"

"Saya teringat sebuah novel yang sudah terlupa tajuknya, memetik ayat di dalam novel itu, `Pekara yang paling susah di dunia ini adalah.......... Untuk memulakan sesuatu`........ maka fikirkanlah"

Komen Nan berakhir dengan ayat ini " Bagaimana atau sebanyak mana buku ini membantu anda akan menjadi pengusaha katering akan jadi tidak bermakna jika Chef anda tidak pandai memasak "

Di pesta buku itu juga Nan dapat berjumpa dengan penulis kegemarannya, Ramlee Awang Murshid.

" Ada pelancaran novel baru rupanya, Sutera Bidadari" gumam Nan lagi.

Melihat kepada sambutan peminat, Nan gembira kerana melihat pola perubahan pembaca masa kini. Tumpuan pembaca bukan sahaja novel cinta air mata tetapi kepada ganre thriller dan fantasi yang pada masa yang sama menguji minda pembaca.  

Untuk melarikan diri daripada dikelilingi oleh novel cinta air mata atau novel `tangkap leleh`, dia berkunjung ke tapak buku PTS. Padat. Sendat. Nak bergerak pun susah. Nan berjaya mendapatkan karya Baharuddin Bakri - seorang penulis yang menulis dengan santai tetapi dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Puan Ainon pula membantu para penulis baru dengan Buku Panduan Teknik Surah Yusuf.

Konflik Malaysia dan Indonesia tidak menjadi alasan kepada Nan untuk membeli karya penulis daripada negara jiran itu. Dia memborong kesemua karya Andrea Hirata dan sambungan novel Negeri 5 Menara karya A. Fuadi - Ranah 3 Warna. Dia juga membeli beberapa buah buku di One Nusantara dan Pekan Ilmu juga tidak ketinggalan terjemanhan Al Quran.

Sesuatu yang menarik perhatian Nan ketika membelek-belek terjemahan Al Quran dia terdengar dialog ini

"Pengisian dan isi kandungan tasiran ini bagus tetapi harganya mahal"

Nan dengan spontan melihat tangan hamba Allah itu, penuh dengan buku-buku. Terdetik di hatinya, mengapakah buku-buku yang berkaitan dengan agama perlu berkira sedangkan buku yang tidak berkaitan `selamba badak` terus membeli.

Terbang jugalah RM 300. Biarpun begitu Nan merasa puas kerana mempunyai stok bacaan mungkin sehingga pesta buku akan datang.

Dozo Yurosihku

5 comments:

  1. salam, saya tertarik dgn buku berkaitan panduan teknik surah yusof? adakah ia bermaksud menggunakan kaedah penyusunan plot yg terdapat dalam surah yusof iaitu pengakhiran cerita menjadi permulaan atau intro cerita?(7 bintang sujud menjadi intro walhal ia sebenarnya melambangkan itulah yg akan terjadi akhirnya)- saya mendengar ini dari ucapan dato' husam musa.

    btw, saya juga ke pesta buku pada tarikh tersebut, memang padat mcm sardin, tapi puas hati..yang best dapat beli buku terbaru andrea hirata.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam Jay

    Sihat? Bagaimana exam?

    Saya masih lagi membaca buku karya Puan Ainon itu. Nanti akan saya rumuskan apabila sudah selesai membacanya.

    Bercakap tentang Andrea Hirata, saya pun membeli semua karya beliau di sana.

    Sudah membaca karya A. Fuadi? Cubalah pasti tidak mengecewakan anda.

    Terima kasih kerana berkunjung ke sini.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, sahabat hamba Zonan Villa,

    Ternyata bahawa tuan boleh menulis, malah semakin baik. Itu saya kira mungkin sesudah membaca buku Puan Ainon Mohamad. Tuan sudah boleh bayangkan plot yang menarik dan nama-nama watak juga mengujakan, walaupun ada sedikit kelakar.

    Macam Tuan Bahrudin Bekri, cerita biasa menjadi luar biasa jika diolah. Tahniah, sahabat! Teruskan.

    Jom kita berlumba di arena penulisan. Ada berani? :-)

    ReplyDelete
  4. Waalaikumsalam Abg Web

    Tinggi sangat pujian itu.. Siapalah saya nak dibandingkan dengan Tuan Baharuddin Bekri.

    Jelas saya masih membaca buku panduan Puan Ainon itu. Buku yang amat berguna sekali penulis baru macam saya.

    Saya dengan senang hati menerima cabaran itu.

    Insya Allah

    ReplyDelete
  5. Tuan Zonan Villa,

    Bukan saya memuji setinggi langit. Cuma bagi galakan.

    Maksud saya berkenaan novel Tuan Baharuddin Bekri ialah beliau mengambil kisah yang berlegar di persekitaran kita. Cerita biasa, tetapi diolah menjadi sangat menarik, seperti novel Kita Hanya di Seberang Jalan. :-)

    P/s: Usai belasah 2 keping roti canai.

    ReplyDelete