Assalamualaikum
Jari kembali menari. Setelah berehat seketika kerana dek kesibukan dan kemalasan melampau yang melanda, saya gagahkan jua jari ini untuk menari kembali.Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kehilangan saya disebabkan cuba merancang sesuatu bersama rakan. Alhamdulilah dengan kuasa Allah berjaya jua. Kemalasan yang melanda dilayan begitu sahaja kerana jika dipaksa jari menari tentulah tarian sumbang yang diberi.
Dalam tempoh mendiamkan diri ini, saya juga menempuh beberapa pengalaman baru yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Pernah satu ketika dahulu, saya cukup menyampah dengan sukan golf, namun kemudian saya akur dengan pepatah 'tidak kenal maka tidak cinta'. Bermula dengan ajak 'bos', saya terjebak. Sudah mencuba barulah saya tahu bertapa sukarnya sukan golf ini. Kepada ahli sukan sejati, golf merupakan satu sukan yang lain daripada yang lain.
Dikesempatan 'bertapa' ini juga saya telah dicadangkan novel terjemahan karya John Grisham. The Broker, The Last Juror dan The King of Tort. Saya membeli ketiga-tiga novel ini serentak. Saya tertarik hati dengan sinopsis ketiga-tiga novel ini. Namun saya baru menghabiskan 2 buah novel sahaja kerana kedatangan 9 Nyawa karya Ramlee Awang Murshid. Berikut sinopsis dan pendapat saya tentang novel 'yang dialih bahasa ini'
Dia adalah seorang ‘broker’. Namanya Joel Backman. Beliau bertanggungjawab menjadi pengatur untuk banyak urusan antara peguam. Namun hidupnya hancur tatkala urusan antara seorang penggodam dan dirinya gagal. Dia dipenjarakan.
Enam tahun kemudian, sesuatu telah berlaku di peringkat kerajaan dan dia dibawa keluar dari penjara.
Joel Backman mendapati dirinya ditempatkan di Bologna, dengan identiti dan kawan baru. Namun apa yang dia tidak tahu kerajaan mempunyai rancangan yang lain. Rancangan yang melibatkan pembunuh upahan dari lebih lima buah negara datang mencari ‘kepala’ Joel Backman.
Joel Backman harus segera merungkai konspirasi peringkat tertinggi yang sudah tertanam berdekad lamanya ini demi menyelamatkan nyawanya.
Komen saya :
Tidak padan dengan sinopsis. Hanya 1/4 cerita ini berkaitan dengan sinopsis. Baki 3/4 pula? Penulis membawa anda melancong ke negara Italy. Watak utama dibawa ke Bologna dan sinilah bermulanya sesi melancong pembaca tentang Bologna dan sejarahnya. Namun ini satu pengalaman baru untuk saya membaca novel yang 'dialih bahasa' dan hasil nukilan penulis terkenal luar negara. Hasilnya tidak mengecewakan.
Pengarang : John Grisham
Willie Traynor tidak pernah menghabiskan pengajian di kolej. Namun pada tahun 1970, ketika beliau berusia 23 tahun, dia membeli syarikat akhbar The Ford Country Times yang awalnya jatuh bangkrap. Namun nama Willie Traynor dan akhbar The Ford Country Times mendapat perhatian umum tatkala seorang ibu muda dirogol dengan kejam oleh salah seorang ahli keluarga Padgitt, yang terkenal dengan kekejaman mereka.Traynor bertindak melaporkan setiap perkembangan kes tersebut dengan terperinci.
Akhbar tersebut mula laris, Danny Padgitt dibicarakan dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Namun sembilan tahun kemudian Danny berjaya meyakinkan pihak berkuasa untuk menjalani parol. Dia kembali ke Ford Country dan pembalasan bermula…
Komen Saya :
Jika The Broker membawa saya melancong ke Italy, The Last Juror pula membawa saya seperti membaca sebuah diari untuk 10 tahun. Panjang tapi tidak membosankan. Tiada unsur tarikan untuk terus membaca apabila sudah berhenti tetapi tiada unsur kebosanan wujud selepas berhenti. Novel ini mengajar saya tentang kesabaran ketika membaca. Seperti The Broker, klimaks sinopsis ini berlaku pada 1/4 penghabisan. Baki 3/4 langsung tiada kena mengena dengan sinopsisnya. Disini saya tekankan betapa 'bersihnya' penulis menutup jejak yang menjadi misteri kepada jalan cerita ini. Saya tekankan 'bersih' disini kerana saya membuat pembandingan dengan novel karya Ramlee Awang Murshid yang saya perhatikan 'kurang bersih' jejaknya untuk menutup misteri dan kadang kalanya nampak bercelaru. Kepada yang baru hendak membaca novel ini, saya memberikan pembayang jejak yang 'bersih' itu ialah 'Keputusan juri untuk hukuman mati'. Bacalah, ia suatu yang menyeronokan. Hati saya juga tersentuh dihampir penghujung novel ini apabila watak utamanya, Willie yang membina sebuah hubungan dengan sebuah keluarga kulit hitam yang berjaya menghasilkan anak-anak yang berjaya dalam pelajaran & kehidupan tidak dapat menunaikan hajatnya. Beliau berjaya membina satu hubungan yang akrab selama hampir 10 tahun bersama si ibu (yang mempunyai penyakit) telah menjual syarikat akhbarnya dan berharap akan dapat melancong keluar negara dan akan memberikan poskad disetiap destinasi kepada si ibu namun sebelum semuanya bermula si ibu sudah meninggal dunia. Jujurnya saya menitiskan air mata.
Sekarang saya masih bersabar untuk membaca 9 Nyawa, masih di peringkat pertengahan. Tidak mengapa, tidak lari gunung dikejar. Saya mahu bercerita tentang bola sepak pula. 2 cerita yang mengembirakan hati saya.
Pertama, pasukan bolasepak Malaysia. Sokongan saya tidak pernah pudar kepada Malaysia itu yang pasti. Ketika K. Rajagopal dilantik menjadi ketua jurulatih Malaysia, berdetik dihati saya, " Akan ada sinar baru untuk pasukan Malaysia'. Saya tidaklah mengenali secara rapat K. Rajagopal ini, tetapi saya mengenali hasil 'air tangan' beliau. Rekod beliau amat cemerlang ketika membimbing pasukan Selangor, Kelantan & Harimau Muda. Saya jugak mengaharapkan sesuatu daripada pasukan bola sepak Malaysia pada sukan Sea di Laos ketika ini. Tidak terbit rasa risau saya terhadap kekalahan Malaysia kepada Vietnam. Rasa itu amat berbaloi apabila akhirnya Thailand & Loas menjadi mangsa Harimau Muda yang terluka. Tahniah untuk mereka yang berjaya mengawal mental & fizikal serta bersemangat tinggi. Syabas.
Kedua, pasukan kesayangan saya, Aston Villa berjaya menumpaskan salah satu 'big 4' dan juga juara bertahan dikandang sendiri. Kali terakhir Villa menumpaskan Man Utd di sana adalah pada tahun 1983. Sudah 15 tahun saya menyokong pasukan ini, tahun ini sudah terasa seperti menuai hasil pula. Bermula dengan Liverpool (3-1 di Anfield), Chelsea (2-1 di Villa Park) dan Man Utd. Hanya pasukan Arsenal yang belum diketahui, namum 27 Disember ini segalanya akan terjawab. Tahniah juga untuk mereka. Tidak kisahlah dimana mereka akan berada pada penghujung musim nanti, yang pastinya saya berbangga bersama Aston Villa untuk selama-lamanya.
Sehingga Jari Menari lagi
Dozo Yuroshiku